Sabtu, 27 Oktober 2012

Menamakan Bayi

27 Oktober 2012 (Situasi 5 minggu ke-7)

Hari ini merupakan hari mencari nama yang sesuai untuk bayi yang baru dilahirkan ini. Sedang membelek-belek buku koleksi nama-nama indah dalam Islam, terlihat pula beberapa himpunan nama-nama yang memberi makna yang tidak elok untuk anak-anak. Antaranya ialah:

  • Afinah = Yang hodoh
  • Asyar = Paling jahat
  • Bakiah = Yang menangis
  • Damiah = Yang mengalir airmatanya
  • Hasidah =Yang hasad
  • Raziah = Kecelakaan
  • Saniah = Yang pelupa
Bayi yang baru dilahirkan ini INSYAALLAH akan diberi nama Ammar Amsyar yang bermaksud "Yang Kuat Iman Yang Cergas".



Ulasan:
Nama-nama yang baik dan indah harus diberikan kepada anak-anak agar anak-anak ini sentiasa dilindungi Allah. Nama anak juga merupakan doa. Sekiranya nama yang tidak elok diberikan kepada anak-anak, maka anak ini sentiasa akan didoakan dengan perkara yang tidak elok.

"Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu, dan nama-nama bapa kamu, maka perindahkanlah nama-nama itu"
(Riwayat Abu Daud)

Khamis, 25 Oktober 2012

Semangat Kejiranan

25 Oktober 2012 (Situasi 4 minggu ke-7)

Hari ini merupakan hari keempat kakak iparku berpantang. Bersempena menyambut Aidil Adha pada esok hari, aku bersama anak-anak kakakku telah berkunjung ke rumahnya untuk bermalam di sana bagi bersama-sama meraikan Hari Raya Korban. Setibanya aku dirumahnya, aku melihat ramai jiran tetangganya yang datang melihat dia dan bayinya. Jiran-jirannya itu terdiri dari pelbagai bangsa. Ada yang berbangsa India, China dan Indonesia. Keakraban dan keprihatinan meraka jelas kelihatan. Mereka semuanya ramah dan kelihatan mesra. Sebelum semuanya pulang, mereka sempat berpesan kepada kakak iparku supaya tidak malu dan segan untuk meminta pertolongan sekiranya memerlukan.



Ulasan:
Semangat kejiranan ini amat dititikberatkan dalam kehidupan kita masyarakat Malaysia. Tidak kira bangsa mahupun agama, kita seharusnya sering bertegur sapa dan beramah mesra. Saya amat kagum dan memuji semangat kejiranan yang wujud di pangsapuri Bukit Raja II ini.

Selasa, 23 Oktober 2012

Bertimbang Rasa

23 Oktober 2012 (Situasi 3 minggu ke-7)

Rasa geram sangat-sangat naik bas ke Kuala Lumpur pada petang tadi. Sewaktu dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur, seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an yang duduk di hadapan tempat duduk saya telah menurunkan kerusinya untuk tidur dalam perjalanan. Tindakan lelaki tersebut membuatkan tempat duduk saya berasa amat sempit. Hal ini demikian membuatkan saya rasa tidak selasa, apatah lagi terpaksa melihat bahagian kepalanya yang berambut kerinting. Perjalanan saya selama 1 jam 30 minit diisi dengan rasa menyampah dan penuh geram. Tidak ada rasa bertimbang rasa betul lelaki tersebut.




Ulasan:
Kita seharusnya lebih bertimbang rasa dengan orang lain terutamanya hal-hal yang melibatkan aspek keselesaan dan hak keselesaan bersama.

Mengganggu

23 Oktober 2012 (Situasi 2 minggu ke-7)

Situasi ini berlaku di dalam kelas Keterampilan Membaca di bilik kuliah L, sekitar jam 3.00 petang. Sedang Dr R (Dr. Rashid) membacakan nota kuliah untuk hari ini, tiba-tiba terdengar dengan lantangnya suara beberapa orang pelajar perempuan sedang bercakap-cakap, bercerita mengenai sesuatu perkara sehinggakan telah ditegur sendiri oleh Dr. Rashid. Dr. Rashid bertindak menegur pelajar-pelajar tersebut kerana kelantangan dan kadar 'kekuatan' suara mereka telah mengganggu fokus Dr. R untuk mengajar dan mengganggu fokus pelajar lain untuk belajar dan menyalin nota.




Ulasan:
Sewaktu berada di dalam kelas, seseorang pelajar itu seharusnya menghormati guru (pensyarah) yang sedang mengajar. Perhatian sepenuhnya harus diberikan kerana hal ini akan menentukan tahap kefahaman kita dalam mengikuti pengajaran yang diajarkan oleh pensyarah.

Isnin, 22 Oktober 2012

Sikap

22 Oktober 2012 (Situasi 1 minggu ke-7)

Pada petang tadi, dalam jam 6.00 petang saya menerima panggilan daripada abang saya yang menyatakan bahawa isterinya selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.2 kilogram pada jam 4.00 petang. Namun, abang saya pada waktu itu menceritakan rasa kesalnya terhadap sikap pihak hospital yang masih belum memberitahu perkembangan isterinya selepas 2 jam bersalin. Dia menceritakan bahawa pihak hospital langsung tidak menghiraukan soalannya mengenai tahap kestabilan isterinya yang baru bersalin itu. Beliau hanya dapat melihat bayinya menerusi tingkap bilik bayi sahaja.






Ulasan:
Pihak hospital seharusnya bersikap lebih mesra dan ramah dengan pesakit mahupun keluarga pesakit. Hal ini demikian, sikap tidak endah pihak hospital dalam menjawab persoalan keluarga pesakit akan menambahkan kegusaran di hati dan fikiran mereka.

Ahad, 21 Oktober 2012

Pekerja Perpustakaan

21 Oktober 2012 (Situasi 5 minggu ke-6)

Jam 3 petang saya dan Azida telah ke perpustakaan untuk berbincang mengenai tugasan berpasangan yang diberikan oleh Dr. Siti Saniah. Perpustakaan pada hari ini ditutup pada jam 5.00 petang. 15 minit sebelum jam 5.00 petang, saya dan Azida bergegas mengemas barang untuk pulang. Semasa hendak menuruni anak tangga di tinggat tiga, kami terlihat seorang pekerja perpustakaan memberi arahan kepada seorang pelajar supaya meletakkan kembali buku yang digunakan di rak yang diambil. Antara kata-kata yang sempat saya tangkap, "Letak buku tu kat rak. Troli dah penuh!" (mengarah dengan riak sombong dan dingin).

Pelajar itu kemudiannya berlalu pergi, manakala pekerja perpustakaan tersebut mengambil buku-buku di atas troli dan meletakkanya di atas rak berdekatan tanpa melihat nombor siri atau kod buku-buku tersebut







Ulasan:
Pekerja tersebut seharusnya memberi arahan dengan nada yang lebih mesra. Hal ini demikian, tugas menyusun kembali buku yang digunakan pelajar sememangnya menjadi tugas mereka. Mereka seharusnya menjalankan tugas dengan sempurna. Sikap tidak endah pekerja perpustakaan tersebut yang meletakkan buku di rak tanpa menyusunnya mengikut kod-kod buku telah menyukarkan pelajar mencari bahan di perpustakaan.

Khamis, 18 Oktober 2012

Tawar Menawar

18 Oktober 2012 (Situasi 4 minggu ke-6)

Setiap hari khamis lazimnya akan diadakan pasar malam di kolej Za'ba. Saya dan beberapa orang rakan telah ke sana untuk membeli makan malam. Kami singgah di sebuah gerai menjual pakaian. Tiba-tiba mata saya tertacap pada sebuah blaus yang ada di gerai tersebut. Maka, saya pun bertanyalah mengenai harga baju tersebut:

Saya    : Akak, baju ni berapa ye harganya?
Penjual : RM 30.
Saya    : Boleh kurang lagi tak kak?
Penjual : Tak boleh. (dengan nada yang agak sombong)

Mendengar jawapan penjual tersebut yang agak dingin dan sombong. Maka, niat saya untuk membeli baju tersebut telah terbatal dengan sendirinya. Jimat duit saya.



Ulasan:
Penjual seharusnya mementingkan aspek bahasa yang baik dan sopan untuk menarik para pelanggan. Bahasa yang lembut boleh menarik minat pelanggan untuk singgah membeli. Begitu juga dalam urusan tawar-menawar. Bahasa yang baik harus digunakan supaya pelanggan tidak terasa dan terpujuk untuk membeli barangan tersebut.


Rabu, 17 Oktober 2012

Penggunaan Bahasa SMS

17 Oktober 2012 (Situasi 3 minggu ke-6)

Mesej yang saya terima daripada beberapa orang rakan:

Ella : Za, tankz yer buku tu.

Nad : Km br abs. 5.30 kte jupe k.

Zida: Tanak ke wit nie?




Ulasan: 
Mungkin masyarakat sekarang lebih suka menggunakan kata yang ringkas dan sewenang-wenangnya. Walaupun budaya tersebut menjadi ikutan, namun ia perlulah bersesuaian dengan keadaan ketika menyampaikan pesanan ringkas kepada pensyarah, ibu bapa atau sesiapa sahaja yang kita rasa perlu menggunakan bahasa Melayu dengan betul.

Selasa, 16 Oktober 2012

Aih Ketoi

16 Oktober 2012 (Situasi 2 minggu ke-6)

Semasa sedang menunggu bas untuk ke pekan, tiba-tiba terdengar perbualan dua orang mahasiswi UPSI yang sedang berjalan melalui perhentian bas tersebut. Salah seorang daripadanya menggunakan dialek Terengganu (pelajar 1), manakala yang seorang lagi menggunakan dialek Kedah (pelajar 2) dalam percakapannya. Antara perbualan mereka adalah seperti berikut:


Pelajar 1: Kak gi naik dumoh dulu. Aku nak gi beli makanang. Nok kiring?
Pelajar 2: Nak. Akak nak kirim 'aih ketoi' ye!
Pelajar 1: 'Aih ketoi'? Ada jual kat kedai makang ko? Kuih mende tuh?
Pelajar 2: 'Aih ketoi' tu bukan kuih la. Aih ketoi tu ais. (Sambil gelak sakan)
Pelajar 1: Igatkang kuih takdi. (Turut gelak)

Saya yang mendengarnya turut tergelak sama. Mungkin pelajar tersebut semester satu di UPSI ini.




Ulasan:
Belajar di UPSi akan menemukan kita dengan kawan-kawan yang berlainan negeri dan ini memberikan pengalaman bermakna dalam hidup kita sebagai seorang pelajar. Secara tidak langsung kita boleh belajar mengenai dialek-dialek dari pelbagai negeri. Di sinilah akan terlihatnya keunikkan pelbagai bahasa dalam aspek pergaulan dan komunikasi sesama masyarakat.

Isnin, 15 Oktober 2012

Teguran

15 Oktober 2012 (Situasi 1 minggu ke-6)

Malam semalam, saya ada perbincangan mengenai tugasan semantik di bangunana e-learning, kampus lama UPSI. Perbincangan tersebut telah selesai pada jam 11 malam. Saya tiba di rumah pada jam 11.15 malam. Semasa saya sedang mengunci pagar rumah, saya disindir oleh oleh seorang pak cik yang memeranggap jiran sebelah rumah saya. Antara kata-katanya yang saya dengar adalah seperti berikut:


"Pak cik : Kol 11 baru nak balik. Bagus! Bagus! Bagus! Balik lewat lagi la"




Ulasan:
Rasanya tak salah kalau pak cik tersebut hendak menegur saya. Akan tetapi baik kiranya jika dia bertanya saya secara bersemuka. Dia tidak seharusnya menyindir saya kerana dia sebenarnya tida tahu saya ke mana, buat apa dan dengan siapa. Tidak semua pelajar UPSI yang balik lewat malam keluar berseronok bersama teman lelaki. Ramai yang keluar atas dasar perbinangan tugasan.

Ahad, 14 Oktober 2012

Kata Panggilan dalam Keluarga

14 Oktober 2012 (Situasi 5 minggu ke-5)

Assalamualaikum...


Hari ini ingin saya memperkatakan mengenai kata panggilan dalam sesebuah keluarga. Dalam kehidupan sesebuah keluarga, kita akan mempunyai nama panggilan tertentu, selain daripada nama yang tertera pada kad pengenalan kita. Kata penggilan ini lazimnya berbeza susunannya mengikut negeri.

Contoh susunan kata panggilan:
  • Along
  • Angah
  • Achik
  • Ateh
  • Itam
  • Uda
  • Ucu
  • Andak
  • Alang
Namun, tidak semua nama panggilan ini digunakan dalam sesebuah keluarga. Contohnya kawan serumah saya (kak Ziha) menggunakna nama panggilan tersebut dalam keluarganya:
  • Along
  • Angah
  • Achik
  • Kakak
  • Adik
Bagi keluarga saya pula, kami tidak menekankan nama penggilan tersebut dalam keluarga. Contohnya:
  • Abang sulong : Abang
  • Kakak sulong : Kakak
  • Abang              : Abang Mie
  • Kakak              : Kak Nie
  • Saya                 : Kak Ja
  • Adik                 : Adik
Dalam keluarga ibu saudara saya pula, mereka lebih menekankan nama panggilan kepada ahli keluarga lelaki sahaja. Ahli keluarga perempuan lazimnya dipanggil dengan nama singkatan daripada nama yang tertera pada kad pengenalan sahaja. Contohnya:
  • Abang Long
  • Abang Ngah
  • Kak Nita
  • Kak Lili
  • Abang Chik
  • Laila


Ulasan:
Kata panggilan yang digunakna dalam sesebuah keluarga adalah berbeza mengikut negeri, adat dan budaya masing-masing. Tidak semua orang akan menggunakan kata panggilan yang sama.

Sabtu, 13 Oktober 2012

Langgar

13 Oktober 2012 (Situasi 4 minggu ke-5)


Hari ini saya dan beberapa orang rakan serumah telah ke pasar malam Tanjung Malim. Sedang saya berjalan, tiba-tiba ada seorang wanita terlanggar bahu kawan saya (Dayah). Namun, wanita tersebut tanpa berpusing ke arah kami terus berjalan tanpa menghiraukan peristiwa tersebut. Senyum tidak, meminta maaf lagi la tidak. Sakit jugakla kawann saya kene langgar, lagi-lagi dengan orang yang berbadan besar seperti wanita tersebut.



Ulasan:
Kita masyarakat yang penuh dengan adab dan sopan. Saya rasa tidak salah sekiranya wanita tersebut pusing sekejap untuk meminta maaf.



Jumaat, 12 Oktober 2012

Satu Ejaan yang Banyak Maknanya

12 Oktober 2012 (Situasi 3 minggu ke-5)

"... dok rok cetong mung ni ..."

Semasa sedang bergelak ketawa sementara menunggu Dr Abdullah (subjek Semantik) masuk ke kelas, terdengar ayat di atas dipertuturkan oleh salah seorang sahabat. Ayat ini sering dipertuturkan oleh sahabat-sahabat saya yang berasal dari Terengganu. Perkataan 'rok' ini lazimnya hanya akan difahami oleh masyarakat yang tinggal di kawasan Pantai Timur sahaja. Istilah 'dok rok'  ini difahami dengan makna 'tidak gagah' atau 'tidak boleh diharap'. ' Dok' ialah kata yang sama ertinya dengan 'tidak'

Mengikut Kamus Dewan, 'rok' sebenarnya membawa kepada empat perkara. Hal ini demikian menunjukkan bahawa istilah ini sebenarnya tidak hanya digunakan dalam kalangan masyarakat Terengganu sahaja. Namun demikian, masyarakat negeri lain tidak menggunakan perkataan ini secara meluas. Perkara ini mungkin berlaku disebabkan mereka tidak biasa menggunakannya.

Perkataan ini mempunyai banyak makna dan antaranya ialah;

  • Muzik yang mempunyai rentak yang kuat
  • Baju perempuan mengikut gaya barat seperti gaun
  • Belukar
  • Larat atau upaya


Ulasan:
Setiap perkataan itu lazimnya mempunyai banyak makna. Dalam berbahasa, kita harus sentiasa mencari kepelbagaian ini agar bahasa masyarakat lain turut berminat untuk mempelajari bahasa kita. Keakraban itu dapat terjalin dengan hanya menggunakan bahasa.

Ahad, 7 Oktober 2012

Keunikan dalam Berbahasa


7 Oktober 2012 (Situasi 2 minggu ke-5)


BANAR BAH..awu banar. Aku selalu mengajuk ayat-ayat bahasa Brunei yang sering dipertuturkan oleh rakan serumahku 'Kak Nani'. Sesekali seronok untuk disebut walaupun sebutan aku sememangnya sentiasa tidak betul. Menurut kak Nani, 'banar' membawa maksud 'benar'.

Sebagai seorang yang dilahirkan dan dibesarkan di negari Kelantan, perkataan 'banar' yang sering dipertuturkan oleh kak Nani ini membuatkan aku teringat beberapa perkataan 'banar' dan 'benar' dalam bahasa Kelantan. 

Antara beberapa kata 'banar' atau sebutannya “bana” jika dituturkan di negeri Kelantan ialah:

  • Kata ganda berirama (betul ke kata ganda? huhuhu...) kepada perkataan 'ssinar' atau 'sinar' yang bermaksud 'bercahaya'. Biasanya 'banar' digandakan dengan perkataan 'ssinar'. Contohnya: 'ssinar banar' iaitu sinar yang berkilau. Kepala yang botak licin juga selalu diejek dengan kata atau istilah 'sina bana'.
  • Dan satu lagi, 'benar' ataupun 'bena' dalam sebutan Kelantan membawa aku ke dapur. Mencari perkataan 'bena' yang merujuk kepada 'lada bena' dan 'minyak bena'. Lada bena ialah lada hitam manakala, minyak bena' pula ialah minyak masak. 


Teringat satu pantun dua kerat dalam bahasa Kelantan yang sering dinyanyikan oleh kanak-kanak yang membawa unsur ejekan:

“seh robbana,palo tokseh ssina bana"



Ulasan:

Dalam kalangan masyarakat Melayu, terdapat pelbagai budaya dan dialek yang berbeza. Perbezaan ini mewujudkan keunikan dan keindahan kepada masyarakat kita dalam berbahasa.

Sabtu, 6 Oktober 2012

Adab Sopan

6 Oktober 2012 (Situasi 1 minggu ke-5)

Pagi ini, jam 11 pagi, saya bersama-sama kakak saya berjalan-jalan di kawasan Jalan Tar untuk menemaninya mencari beberapa helai tudung. Sewaktu sedang menunggu lampu isyarat pejalan kaki bertukar hijau, tiba-tiba kami ternampak sebuah kereta vios berhenti mengejut. Lalu keluar seorang lelaki India dalam lingkungan 40 tahun. 

Lelaki muda : Apa uncle ni. Jalan tak tengok ke? Berjalan tengah jalan. Menyusahkan orang!
Lelaki tua     : (kelihatan terpinga-pinga seperti tidak tahu apa yang telah dilakukannya)
Lelaki muda : Mabuk ke apa you ni uncle? Berjalan tak tengok kiri kanan! Tak kan dah tua tak tahu lagi nak pandang kiri kanan? (sambil melihat bahagian depan dan belakang keretanya)
Lelaki tua     : Saya minta maaf! (Masih terpinga-pinga)

Kami kemudiannya berlalu pergi meninggalkan kejadian tersebut kerana lampu pejalan kaki telahpun bertukar hijau. Lagipun tak sanggup rasanya hendak melihat lelaki tua tersebut terus dimarahi.



Ulasan:

Agak kejam tindakan lelaki muda tersebut. Kalau betul pun pakcik tu melintas jalan tak tengok kiri kanan, tak perlu la dia cakap "Mabuk" kat pakcik tu. Di mana adab anak muda Melayu pada orang yang lebih tua. Kita orang asia, orang yang penuh adab dan sopan. Kekalkanlah adab sopan dan nilai-nilai murni dalam diri kita. Tak merugikan kita pun.

Jumaat, 5 Oktober 2012

Bahasa Pasar

5 Oktober 2012 (Situasi 5 minggu ke-4)

Hari ini saya ke kedai fotostat untuk menfotokopi beberapa nota kuliah daripada pensyarah. Situasi ketika di kedai fotostat:

Pekedai      : Mau apa?
Pelanggang : Fotostat ini 25 ye.

Bebapa minit kemudian.

Pekedai      : Dah.
Pelanggan   : Berapa kira?
Pekedai      : Dua lima saja ma.
Pelanggan   : Terima kasih.
Pekedai      : Sama-sama.


Ulasan:
Penggunaan bahasa pasar yang ringkas dan difahami oleh kedua-dua belah pihak. Lazimnya, urusan jual beli menjadi lebih mudah sekiranya menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh kedua-dua belah pihak. Penggunaan ragam bahasa ini sebenarnya hendaklah bersesuaian dengan semantik dan pragmatiknya, iaitu dari segi sasaran, golongan sosial, situasi  dan tempat. Namun, budi bahasa yang baik dan sesuai harus juga digunakan. 

Bahasa SMS

5 Oktober 2012 (Situasi 4 minggu ke-4)

Hari ini hati rasa cukup gembira apabila menerima pesanan ringkas (SMS) daripada sahabat lama. Namun, ia telah menjadi peristiwa yang amat melucukan apabila saya tersalah membalas SMS yang dihantarnya.

Adila : Salam. What pe 2? chat?
Saya   : Wslm. Saya ada ngan kawan kat library. Tak chating malam ni. Cibuk sikit.
Adila  : He3. Sy tanye sihat ke? Apa lak chating yang dijawab..huhuhu



Ulasan:
SMS kami di atas menunjukkan timbulnya salah faham antara kami. Bahasa SMS yang terlalu ringkas menyebabkan saya salah mentafsir persoalannya. Oleh hal yang demikian, saya rasa lebih elok sekiranya kita sama-sama melatih diri kita untuk menulis ejaan bahasa Melayu yang betul mahupun dalam perbualan SMS supaya tidak timbul salah faham dalam proses kita berkomunikasi.


Bahasa Rojak

5 Oktober 2012 (Situasi 3 minggu ke-4)

Tajuk yang ingin saya kupaskan pada saat ini adalah mengenai bahasa Melayu rojak. Saya mengambil tajuk ini kerana tertarik dengan rencana keratan akhbar lama yang saya temui di laman sesawang. Antara yang digariskan dan dinyatakan dalam keratan akhbar tersebut adalah seperti berikut:

"Gejala mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris merupakan gejala paling baru dalam penyiaran, katanya. Dalam setiap ayat seorang eksekutif sekarang, kita dapati mesti ada mengandungi - kalau tidak separuh, suku - kata-kata Inggeris yang dicampurkan dengan bahasa kita. Ini sudah begitu automatis sehinggakan ia merupakan budaya baru bangsa Melayu bercakap separuh Melayu, separuh Inggeris."

Bahasa rojak sebenarnya merupakan suatu percakapan yang menakrifkan campuran pelbagai bahasa dalam suatu pertuturan. Misalnya 'MANGLISH', iaitu seketika menggunakan kata-kata bahasa Melayu dan seketika lagi menggunakan kata-kata dalam bahasa Inggeris. Saya sering mendengar penggunaan bahasa rojak ini terutamanya dalam kalangan masyarakat yang tinggal di kawasan kota raya.

Contoh dialog yang menggunakan bahasa rojak adalah seperti berikut:

          Sarah : Last night, I tengok movie sampai pukul 2 pagi. Best Tau movie tu.
          Dayah: Story la sikit. Aku nak dengar. Hensem tak hero dia





Ulasan:
Masyarakat Melayu pada hari ini banyak dipengaruhi oleh bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris dalam perbualan harian mereka. Masalah ini telah lama berlaku tetapi semakin meruncing dan membuncahkan untuk era baru ini. Hal ini demikian sangat berbeza dengan cara hidup dan cara berkomunikasi masyarakat Jepun yang terus hormat dan membahasakan diri sebagai orang Jepun. Oleh hal yang demikian, usaha memartabatkan bahasa Melayu ini sebenarnya harus bermula daripada pemikiran pihak berkuasa seperti kabinet. Selain itu, kita sebagai penghuni negara Malaysia juga harus turut sama membantu membangunkan dan memartabatkan bahasa Melayu dalam kehidupan kita seharian.

Khamis, 4 Oktober 2012

Senyum

4 Oktober 2012 (Situasi 2 minggu ke-4)

Sebahagian manusia ketika berbicara tentang senyuman mengaitkannya dengan pengaruh psikologi terhadap orang yang tersenyum. Namun, seorang muslim memandang hal ini dengan kaca mata yang berbeza, iaitu kaca mata ibadah, bahawa tersenyum adalah sebahagian dari mencontohi Nabi saw. yang disunnahkan dan bernilai ibadah. Para pakar dari kalangan muslim mahupun bukan muslim juga melihat seuntai senyuman itu sebenarnya sangat besar pengaruhnya.

Memang banyak perkara yang boleh kita senyum tanpa kita sedari. Jika hendak disenaraikan memang sangat banyak. Senyuman yang kita dapat dari orang lain lazimnya mampu membuatkan hati kita menjadi senang. Hari ini tanpa sedar saya telah memberi senyuman kepada seseorang yang tidak saya kenali di pejabat Telekom Malaysia di Tanjung Malim ketika sedang menunggu giliran untuk membayar bil internet. Namun demikian, senyuman saya dibalas dengan wajah masam mencuka. Melalui riak wajahnya, dapat saya tafsirkan bahawa dia sebenarnya tidak mengenali saya dan sedang mengalami emosi yang tidak tenang. Hehehehe...

Senyuman boleh mengungkap pelbagai mesej atau bahasa. Melalui senyuman sesiapa sahaja yakin bahawa bahasa yang ingin disampaikan ialah persaan suka dan gembira selain dari mendukung lambang sapaan selamat pagi, selamat petang dan sebagainya. Namun demikian, terdapat juga senyuman yang berunsur negatif seperti senyuman mengejek.




SENYUM!


Ulasan:
Senyum itu adalah hadiah yang bereti jika ikhlas di hati.
Senyum itu adalah sedekah.
Senyum yang manis adalah kekayaan hati dan jiwa yang tidak dapat dibeli dengan harta.
Senyum sebagai satu bahasa mesra dalam sesebuah masyarakat.
Sekuntum senyuman sudah cukup untuk menceriakan hari yang suram.
Senyuman mampu mengeratkan persaudaraan dalam sesebuah masyarakat.

Tabu Dalam Berbahasa


4 Oktober 2012 (Situasi 1 minggu ke-4)

Pada hari isnin yang lalu (1 oktober 2012), saya bersama beberapa ahli kumpulan kelas Semantik dan Pragmatik Bahasa Melayu telah bersama-sama mengumpulkan data mengenai aspek tabu dalam berbahasa.

Kita sering mendengar mengenai bahasa Tabu. Namun, tahukah kita apa itu ‘tabu’? Kamus Dewan Edisi ke-4 mendefinisikan tabu sebagai sesuatu yang dilarang, pantang larang, pemali; iaitu yang terlarang, yang diharamkan atau ditegah. Larangan ini lazimnya merujuk kepada amalan, perbuatan, pakaian dan seumpamanya. Apabila dikaitkan dengan bahasa dan budaya masyarakat, tabu ialah suatu keadaan yang menjadi sempadan atau sekatan kepada anggota masyarakat agar mereka tidak menggunakan bahasa atau perkataan tertentu dengan sewenang-wenangnya. Walaupun bahasa merupakan sesuatu yang arbitrari, ada sesetengah perkara yang tidak boleh dibicarakan secara terbuka dan terang-terangan, terutamanya di khalayak. Bahasa tabu ini lazimnya sering digunakan dalam situasi:

  •  Takut


Nama haiwan
Nama gantian
harimau
Pak Belang
gajah
orang besar
ular
akar
buaya
batang hanyut
tikus
Cik Siti 


  • Unsur seks / lucah / fungsi badan


Kata tabu
Kata gantian
pantat
kemaluan
butuh
puki
burit
jubur/dubur
punggung
kopek
buah dada/payudara
tetek
haid
datang bulan, datang kotor
bersetubuh
hubungan kelamin
mengandung
hamil/berbadan dua





Ulasan:
Walaupun tabu atau larangan dalam penggunaan bahasa telah diamalkan sejak zaman dahulu, namun penggunaannya pada masa kini tidak lagi bersifat relaven. Hal ini demikian kerana, apabila penggunaan bahasa tabu dipertuturkan pada masa kini, maka perkataan tersebut membawa maksud yang berlainan sama ada dalam bentuk lucah atau kurang sopan.

Jumaat, 28 September 2012

Bahasa Kasar dan Kesat

28 Sept 2012 (Situasi 5 minggu ke-3)

Hari ini saya telah menemani anak saudara saya (angah dan achik) ke sekolah tadikanya untuk hari gotong-royong sekolah. Di sana, saya terpandang sekumpulan kanak-kanak lelaki (kawan-kawan tadika angah dan achik) yang sedang bermain di taman sekolah. Saya kemudiannya terdengar perbualan kanak-kanak ini yang saya anggap sebagai agak keterlaluan. 

Kisahnya bermula apabila Daniel (bukan nama sebenar) tersepak sebuah kerusi di taman, lalu jatuh:
  • Daniel : Arrggggh...babi!
  • Irsyad: Kenapa?
  • Daniel : Ni...kerusi ni sial. Siapa letak kat sini?


Ulasan:
Terkejut saya mendengar bahasa yang digunakan oleh Daneil, seorang kanak-kanak yang baru setahun jagung umurnya. Dalam umur sebegitu, dia sudah menggunakan bahasa yang kesat dalam pertuturan. Bagaimana agaknya penggunaan bahasa apabila dia dewasa kelak? Kesimpulannya, ibu bapa atau orang dewasa harus lebih menitikberatkan penggunaan bahasa dengan kanak-kanak kerana kanak-kanak ini mudah terpengaruh dan mereka sebenarnya belajar berbahasa melalui pemerhatiannya terhadap kita.

Khamis, 27 September 2012

Budaya Berterima Kasih

27 Sept 2012 (Situasi 4 minggu ke-3)

Assalamualaikum....
Malam ini saya hendak menceritakan pengalaman saya membantu seorang kakak di stesen LRT atau nama penuhnya "Light Rail Transit" pada hujung minggu yang lepas. Dijadikan cerita, ketika saya sedang beratur untuk membeli tiket LRT di bahagian mesin tiket di stesen LRT KL Central, tiba-tiba seorang kakak di belakang saya bertanyakan arah perjalanan ke hentian bas Pudu dan seterusnya meminta saya menemaninya ke sana. Melihat kakak tersebut yang kelihatan tidak biasa membuat perjalanan menggunakan LRT, saya bersetuju membantunya menunjukkan arah ke stesen bas tersebut.

Oleh hal yang demikian, saya telah membeli tiket LRT ke stesen LRT Plaza Rakyat untuk dua orang menggunakan wang kakak tersebut. Huhuhu. Saya telah menemaninya ke stesen bas Pudu. Namun dalam perjalanan kami ke sana, kakak tersebut hanya bermasam muka dan tidak bertanya mahupun beramah mesra.

Setibanya di sana, dengan hanya mengucapkan kata OK dan selamat tinggal, kakak tersebut terus ke kaunter tiket bas dan meninggalkan saya. Saya jadi tertanya-tanya di mana budaya berterima kasih dia? Bukanlah hati ini tidak ikhlas membantu tetapi agak terguris dan tersentak dengan tindak tanduk masyarakat kita pada hari ini yang budaya sopan santun dan berterima kasihnya semakin hari semakin pudar dan sirna di lubuk jiwa. Saya kemudiaannya berpatah balik ke KL Central dan meneruskan perjalanan ke laluan Kelana Jaya.



Ulasan:
Budaya dan adat berterima kasih itu harus ada dan harus kita semai dalam kehidupan bermasyarakat kita pada hari ini. Hal ini demikian kerana, budaya ini mampu menggambarkan keperibadian seseorang insan dalam sesebuah masyarakat.

Kesilapan Penggunaan 'Adalah' dan 'Ialah'

27 Sept 2012 (Situasi 3 minggu ke-3)

Masuk sahaja ke dalam rumah sewa saya di kawasan Taman Universiti setelah pulang dari kelas Sosiolinguistik Melayu, saya disapa rakan serumah bertanyakan perihal penggunaan kata pemeri 'ialah' dan 'adalah'. Tujuan dia bertanya adalah untuk menyemak kertas kerjanya. Kami kemudiannya berbual dan berbincang mengenai kesilapan penggunaan kedua-dua kata pemeri ini dalam konteks kehidupan masyarakat kita di Malaysia. 

Kata pemeri 'ialah' dan 'adalah' merupakan kata tugas yang tergolong sebagai kata prafrasa. Kata pemeri 'ialah' digunakan untuk menunjukkan persamaan yang hadir di hadapan frsaa adjektif dan frasa sendi nama. 

Contoh kesilapan yang sering kita lakukan:

1) Kesilapan penggunaan kata pemeri 'adalah' di tempat 'ialah'
  • Anak adalah anugerah Allah. (Salah)
  • Anak ialah anugerah Allah. (Betul)

2) Kesilapan penggunaan kata pemeri 'ialah' di tempat 'adalah'
  • Majalah Mingguan Wanita ialah untuk kaum wanita sahaja. (Salah)
  • Majalah Mingguan Wanita adalah untuk kaum wanita sahaja. (Betul)

3) Kesilapan penggunaan kata pemeri 'adalah' di hadapan kata kerja
  • Matlamat utama saya adalah membantu golongan kanak-kanak yang buta huruf. (Salah)
  • Matlamat utama saya ialah membantu golongan kanak-kanak yang buta huruf. (Betul)

4) Kesilapan penggunaan kata pemeri 'adalah' pada hadapan atau awal ayat
  • Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa esok cuti. (Salah)
  • Dengan ini dimaklumkan bahawa esok cuti. (Betul)

5) Kesilapan penggunaan kata pemeri 'adalah' bersama kata kerja
  • Para pelajar adalah dipelawa memohon untuk tinggal di asrama. (Salah)
  • Para pelajar dipelawa memohon untuk tinggal di asrama. (Betul)


Ulasan:

Penggunaan kata pemeri itu sebenarnya terbatas dan amat tidak digalakkan dalam pembentukan ayat Bahasa Melayu. Namun, ramai dalam kalangan kita yang masih menggunakannya tanpa mengetahui cara penggunaan yang sebenar. Kata pemeri 'adalah' hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang bersifat huraian sahaja, manakala kata pemeri 'ialah' hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Sebaliknya, kata kerja atau frasa kerja tidak perlu didahului oleh kata pemeri, sama ada kata pemeri 'ialah' atau 'adalah'.

Bahasa Terbalik

27 Sept 2012 (Situasi 2 minggu ke-3)

Teringat peristiwa ketika di kampung pada cuti semester yang lepas. Peristiwa lucu mengenai seorang puteri kecil (anak saudara) yang saya kenali sebagai 'kakak' dan berusia satu tahun tujuh bulan. Dua bulan yang lepas, mama  (ibu kepada kakak) telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.67 kilogram. Sewaktu hari kelima berpantang, sedang mamanya duduk di kerusi sambil menonton televisyen, kakak mula mendampingi mamanya hendak naik duduk di atas riba dengan tujuan untuk bermanja. Melihat tingkah laku kakak, emak saya (nenek kepada kakak) mula bersuara "kakak, sepak kaki mama tu nanti!" dengan tujuan untuk melarang kakak menyepak kaki mamanya. Biasalah, menjadi adat orang berpantang untuk menjaga kakinya daripada terkena sesuatu yang berat, kuat, tajam dan sebagainya.


Namun, kakak sebenarnya salah mentafsir kata-kata emak itu tadi. Sejurus mendengar kata-kata emak, kakak dengan penuh bersemangatnya terus menyepak kaki mamanya sambil melebarkan senyuman yang sangat ikhlas. Tergelak rasanya melihat peristiwa itu.



Ulasan:

Kanak-kanak selalunya salah mentafsir bahasa terbalik yang sering disampaikan oleh ibu bapa. Oleh hal yang demikian, kita sebagai orang dewasa perlu menggunakan bahasa yang lebih ringkas dan lebih rendah larasnya supaya mudah difahami oleh kanak-kanak.

Rabu, 26 September 2012

Bahasa Kiasan

26 Sept 2012 (Situasi 1 minggu ke-3)

Hari ini saya terbaca mengenai bahasa kiasan di beberapa blog pada laman sesawang. Za'ba menyatakan bahasa kiasan sebagai bahasa yang menyatakan sesuatu perkara yang mengkiaskan kepada perkara lain sama ada menyebut atau tidak bandingan antaranya. Bahasa kiasan dianggap sebagai bahasa atau ungkapan pengucapan yang halus dan dan dapat meningkatkan imej penuturnya. 

Bahasa Kiasan ini hampir sama dengan peribahasa dari segi maksudnya, kerana bahasa kiasan juga mempunyai maksud di sebalik makna harfiahnya. Ia merupakan ciptaan penutur atau pengkarya berhubung dengan sesuatu keadaan, situasi atau persekitaran. Antara beberapa contoh bahasa kiasan yang sering kita gunakan ialah:
  • Kiasan bersandar = mandi kerbau
  • Kiasan terus = ayam tambatan
  • Kiasan berbunga = selimut kemalasan
  • Kiasan pemanis = buang air besar

Antara beberapa contoh bahasa kiasan dan maksudnya ialah:
  • Panjang tangan = suka mencuri
  • Besar Kepala = sombong
  • Rendah Hati = tidak sombong


Ulasan:
Secara sedar atau tidak sedar, kita banyak menggunakan bahasa kiasan dalam pertuturan kita seharian. Hal ini demikian kerana, bahasa kiasan dianggap lebih manis dan sopan apabila dituturkan dan digunakan dalam komunikasi selain menunjukkan nilai dalam Bahasa Melayu itu sebenarnya sangat tinggi.