Sabtu, 27 Oktober 2012

Menamakan Bayi

27 Oktober 2012 (Situasi 5 minggu ke-7)

Hari ini merupakan hari mencari nama yang sesuai untuk bayi yang baru dilahirkan ini. Sedang membelek-belek buku koleksi nama-nama indah dalam Islam, terlihat pula beberapa himpunan nama-nama yang memberi makna yang tidak elok untuk anak-anak. Antaranya ialah:

  • Afinah = Yang hodoh
  • Asyar = Paling jahat
  • Bakiah = Yang menangis
  • Damiah = Yang mengalir airmatanya
  • Hasidah =Yang hasad
  • Raziah = Kecelakaan
  • Saniah = Yang pelupa
Bayi yang baru dilahirkan ini INSYAALLAH akan diberi nama Ammar Amsyar yang bermaksud "Yang Kuat Iman Yang Cergas".



Ulasan:
Nama-nama yang baik dan indah harus diberikan kepada anak-anak agar anak-anak ini sentiasa dilindungi Allah. Nama anak juga merupakan doa. Sekiranya nama yang tidak elok diberikan kepada anak-anak, maka anak ini sentiasa akan didoakan dengan perkara yang tidak elok.

"Sesungguhnya kamu akan diseru pada hari kiamat dengan nama-nama kamu, dan nama-nama bapa kamu, maka perindahkanlah nama-nama itu"
(Riwayat Abu Daud)

Khamis, 25 Oktober 2012

Semangat Kejiranan

25 Oktober 2012 (Situasi 4 minggu ke-7)

Hari ini merupakan hari keempat kakak iparku berpantang. Bersempena menyambut Aidil Adha pada esok hari, aku bersama anak-anak kakakku telah berkunjung ke rumahnya untuk bermalam di sana bagi bersama-sama meraikan Hari Raya Korban. Setibanya aku dirumahnya, aku melihat ramai jiran tetangganya yang datang melihat dia dan bayinya. Jiran-jirannya itu terdiri dari pelbagai bangsa. Ada yang berbangsa India, China dan Indonesia. Keakraban dan keprihatinan meraka jelas kelihatan. Mereka semuanya ramah dan kelihatan mesra. Sebelum semuanya pulang, mereka sempat berpesan kepada kakak iparku supaya tidak malu dan segan untuk meminta pertolongan sekiranya memerlukan.



Ulasan:
Semangat kejiranan ini amat dititikberatkan dalam kehidupan kita masyarakat Malaysia. Tidak kira bangsa mahupun agama, kita seharusnya sering bertegur sapa dan beramah mesra. Saya amat kagum dan memuji semangat kejiranan yang wujud di pangsapuri Bukit Raja II ini.

Selasa, 23 Oktober 2012

Bertimbang Rasa

23 Oktober 2012 (Situasi 3 minggu ke-7)

Rasa geram sangat-sangat naik bas ke Kuala Lumpur pada petang tadi. Sewaktu dalam perjalanan dari Tanjung Malim ke Kuala Lumpur, seorang lelaki dalam lingkungan umur 30-an yang duduk di hadapan tempat duduk saya telah menurunkan kerusinya untuk tidur dalam perjalanan. Tindakan lelaki tersebut membuatkan tempat duduk saya berasa amat sempit. Hal ini demikian membuatkan saya rasa tidak selasa, apatah lagi terpaksa melihat bahagian kepalanya yang berambut kerinting. Perjalanan saya selama 1 jam 30 minit diisi dengan rasa menyampah dan penuh geram. Tidak ada rasa bertimbang rasa betul lelaki tersebut.




Ulasan:
Kita seharusnya lebih bertimbang rasa dengan orang lain terutamanya hal-hal yang melibatkan aspek keselesaan dan hak keselesaan bersama.

Mengganggu

23 Oktober 2012 (Situasi 2 minggu ke-7)

Situasi ini berlaku di dalam kelas Keterampilan Membaca di bilik kuliah L, sekitar jam 3.00 petang. Sedang Dr R (Dr. Rashid) membacakan nota kuliah untuk hari ini, tiba-tiba terdengar dengan lantangnya suara beberapa orang pelajar perempuan sedang bercakap-cakap, bercerita mengenai sesuatu perkara sehinggakan telah ditegur sendiri oleh Dr. Rashid. Dr. Rashid bertindak menegur pelajar-pelajar tersebut kerana kelantangan dan kadar 'kekuatan' suara mereka telah mengganggu fokus Dr. R untuk mengajar dan mengganggu fokus pelajar lain untuk belajar dan menyalin nota.




Ulasan:
Sewaktu berada di dalam kelas, seseorang pelajar itu seharusnya menghormati guru (pensyarah) yang sedang mengajar. Perhatian sepenuhnya harus diberikan kerana hal ini akan menentukan tahap kefahaman kita dalam mengikuti pengajaran yang diajarkan oleh pensyarah.

Isnin, 22 Oktober 2012

Sikap

22 Oktober 2012 (Situasi 1 minggu ke-7)

Pada petang tadi, dalam jam 6.00 petang saya menerima panggilan daripada abang saya yang menyatakan bahawa isterinya selamat melahirkan bayi lelaki seberat 3.2 kilogram pada jam 4.00 petang. Namun, abang saya pada waktu itu menceritakan rasa kesalnya terhadap sikap pihak hospital yang masih belum memberitahu perkembangan isterinya selepas 2 jam bersalin. Dia menceritakan bahawa pihak hospital langsung tidak menghiraukan soalannya mengenai tahap kestabilan isterinya yang baru bersalin itu. Beliau hanya dapat melihat bayinya menerusi tingkap bilik bayi sahaja.






Ulasan:
Pihak hospital seharusnya bersikap lebih mesra dan ramah dengan pesakit mahupun keluarga pesakit. Hal ini demikian, sikap tidak endah pihak hospital dalam menjawab persoalan keluarga pesakit akan menambahkan kegusaran di hati dan fikiran mereka.

Ahad, 21 Oktober 2012

Pekerja Perpustakaan

21 Oktober 2012 (Situasi 5 minggu ke-6)

Jam 3 petang saya dan Azida telah ke perpustakaan untuk berbincang mengenai tugasan berpasangan yang diberikan oleh Dr. Siti Saniah. Perpustakaan pada hari ini ditutup pada jam 5.00 petang. 15 minit sebelum jam 5.00 petang, saya dan Azida bergegas mengemas barang untuk pulang. Semasa hendak menuruni anak tangga di tinggat tiga, kami terlihat seorang pekerja perpustakaan memberi arahan kepada seorang pelajar supaya meletakkan kembali buku yang digunakan di rak yang diambil. Antara kata-kata yang sempat saya tangkap, "Letak buku tu kat rak. Troli dah penuh!" (mengarah dengan riak sombong dan dingin).

Pelajar itu kemudiannya berlalu pergi, manakala pekerja perpustakaan tersebut mengambil buku-buku di atas troli dan meletakkanya di atas rak berdekatan tanpa melihat nombor siri atau kod buku-buku tersebut







Ulasan:
Pekerja tersebut seharusnya memberi arahan dengan nada yang lebih mesra. Hal ini demikian, tugas menyusun kembali buku yang digunakan pelajar sememangnya menjadi tugas mereka. Mereka seharusnya menjalankan tugas dengan sempurna. Sikap tidak endah pekerja perpustakaan tersebut yang meletakkan buku di rak tanpa menyusunnya mengikut kod-kod buku telah menyukarkan pelajar mencari bahan di perpustakaan.

Khamis, 18 Oktober 2012

Tawar Menawar

18 Oktober 2012 (Situasi 4 minggu ke-6)

Setiap hari khamis lazimnya akan diadakan pasar malam di kolej Za'ba. Saya dan beberapa orang rakan telah ke sana untuk membeli makan malam. Kami singgah di sebuah gerai menjual pakaian. Tiba-tiba mata saya tertacap pada sebuah blaus yang ada di gerai tersebut. Maka, saya pun bertanyalah mengenai harga baju tersebut:

Saya    : Akak, baju ni berapa ye harganya?
Penjual : RM 30.
Saya    : Boleh kurang lagi tak kak?
Penjual : Tak boleh. (dengan nada yang agak sombong)

Mendengar jawapan penjual tersebut yang agak dingin dan sombong. Maka, niat saya untuk membeli baju tersebut telah terbatal dengan sendirinya. Jimat duit saya.



Ulasan:
Penjual seharusnya mementingkan aspek bahasa yang baik dan sopan untuk menarik para pelanggan. Bahasa yang lembut boleh menarik minat pelanggan untuk singgah membeli. Begitu juga dalam urusan tawar-menawar. Bahasa yang baik harus digunakan supaya pelanggan tidak terasa dan terpujuk untuk membeli barangan tersebut.