Jumaat, 28 September 2012

Bahasa Kasar dan Kesat

28 Sept 2012 (Situasi 5 minggu ke-3)

Hari ini saya telah menemani anak saudara saya (angah dan achik) ke sekolah tadikanya untuk hari gotong-royong sekolah. Di sana, saya terpandang sekumpulan kanak-kanak lelaki (kawan-kawan tadika angah dan achik) yang sedang bermain di taman sekolah. Saya kemudiannya terdengar perbualan kanak-kanak ini yang saya anggap sebagai agak keterlaluan. 

Kisahnya bermula apabila Daniel (bukan nama sebenar) tersepak sebuah kerusi di taman, lalu jatuh:
  • Daniel : Arrggggh...babi!
  • Irsyad: Kenapa?
  • Daniel : Ni...kerusi ni sial. Siapa letak kat sini?


Ulasan:
Terkejut saya mendengar bahasa yang digunakan oleh Daneil, seorang kanak-kanak yang baru setahun jagung umurnya. Dalam umur sebegitu, dia sudah menggunakan bahasa yang kesat dalam pertuturan. Bagaimana agaknya penggunaan bahasa apabila dia dewasa kelak? Kesimpulannya, ibu bapa atau orang dewasa harus lebih menitikberatkan penggunaan bahasa dengan kanak-kanak kerana kanak-kanak ini mudah terpengaruh dan mereka sebenarnya belajar berbahasa melalui pemerhatiannya terhadap kita.

Khamis, 27 September 2012

Budaya Berterima Kasih

27 Sept 2012 (Situasi 4 minggu ke-3)

Assalamualaikum....
Malam ini saya hendak menceritakan pengalaman saya membantu seorang kakak di stesen LRT atau nama penuhnya "Light Rail Transit" pada hujung minggu yang lepas. Dijadikan cerita, ketika saya sedang beratur untuk membeli tiket LRT di bahagian mesin tiket di stesen LRT KL Central, tiba-tiba seorang kakak di belakang saya bertanyakan arah perjalanan ke hentian bas Pudu dan seterusnya meminta saya menemaninya ke sana. Melihat kakak tersebut yang kelihatan tidak biasa membuat perjalanan menggunakan LRT, saya bersetuju membantunya menunjukkan arah ke stesen bas tersebut.

Oleh hal yang demikian, saya telah membeli tiket LRT ke stesen LRT Plaza Rakyat untuk dua orang menggunakan wang kakak tersebut. Huhuhu. Saya telah menemaninya ke stesen bas Pudu. Namun dalam perjalanan kami ke sana, kakak tersebut hanya bermasam muka dan tidak bertanya mahupun beramah mesra.

Setibanya di sana, dengan hanya mengucapkan kata OK dan selamat tinggal, kakak tersebut terus ke kaunter tiket bas dan meninggalkan saya. Saya jadi tertanya-tanya di mana budaya berterima kasih dia? Bukanlah hati ini tidak ikhlas membantu tetapi agak terguris dan tersentak dengan tindak tanduk masyarakat kita pada hari ini yang budaya sopan santun dan berterima kasihnya semakin hari semakin pudar dan sirna di lubuk jiwa. Saya kemudiaannya berpatah balik ke KL Central dan meneruskan perjalanan ke laluan Kelana Jaya.



Ulasan:
Budaya dan adat berterima kasih itu harus ada dan harus kita semai dalam kehidupan bermasyarakat kita pada hari ini. Hal ini demikian kerana, budaya ini mampu menggambarkan keperibadian seseorang insan dalam sesebuah masyarakat.

Kesilapan Penggunaan 'Adalah' dan 'Ialah'

27 Sept 2012 (Situasi 3 minggu ke-3)

Masuk sahaja ke dalam rumah sewa saya di kawasan Taman Universiti setelah pulang dari kelas Sosiolinguistik Melayu, saya disapa rakan serumah bertanyakan perihal penggunaan kata pemeri 'ialah' dan 'adalah'. Tujuan dia bertanya adalah untuk menyemak kertas kerjanya. Kami kemudiannya berbual dan berbincang mengenai kesilapan penggunaan kedua-dua kata pemeri ini dalam konteks kehidupan masyarakat kita di Malaysia. 

Kata pemeri 'ialah' dan 'adalah' merupakan kata tugas yang tergolong sebagai kata prafrasa. Kata pemeri 'ialah' digunakan untuk menunjukkan persamaan yang hadir di hadapan frsaa adjektif dan frasa sendi nama. 

Contoh kesilapan yang sering kita lakukan:

1) Kesilapan penggunaan kata pemeri 'adalah' di tempat 'ialah'
  • Anak adalah anugerah Allah. (Salah)
  • Anak ialah anugerah Allah. (Betul)

2) Kesilapan penggunaan kata pemeri 'ialah' di tempat 'adalah'
  • Majalah Mingguan Wanita ialah untuk kaum wanita sahaja. (Salah)
  • Majalah Mingguan Wanita adalah untuk kaum wanita sahaja. (Betul)

3) Kesilapan penggunaan kata pemeri 'adalah' di hadapan kata kerja
  • Matlamat utama saya adalah membantu golongan kanak-kanak yang buta huruf. (Salah)
  • Matlamat utama saya ialah membantu golongan kanak-kanak yang buta huruf. (Betul)

4) Kesilapan penggunaan kata pemeri 'adalah' pada hadapan atau awal ayat
  • Adalah dengan ini dimaklumkan bahawa esok cuti. (Salah)
  • Dengan ini dimaklumkan bahawa esok cuti. (Betul)

5) Kesilapan penggunaan kata pemeri 'adalah' bersama kata kerja
  • Para pelajar adalah dipelawa memohon untuk tinggal di asrama. (Salah)
  • Para pelajar dipelawa memohon untuk tinggal di asrama. (Betul)


Ulasan:

Penggunaan kata pemeri itu sebenarnya terbatas dan amat tidak digalakkan dalam pembentukan ayat Bahasa Melayu. Namun, ramai dalam kalangan kita yang masih menggunakannya tanpa mengetahui cara penggunaan yang sebenar. Kata pemeri 'adalah' hanya boleh diikuti oleh kata sendi nama dan kata adjektif yang bersifat huraian sahaja, manakala kata pemeri 'ialah' hanya boleh diikuti oleh kata nama atau frasa nama. Sebaliknya, kata kerja atau frasa kerja tidak perlu didahului oleh kata pemeri, sama ada kata pemeri 'ialah' atau 'adalah'.

Bahasa Terbalik

27 Sept 2012 (Situasi 2 minggu ke-3)

Teringat peristiwa ketika di kampung pada cuti semester yang lepas. Peristiwa lucu mengenai seorang puteri kecil (anak saudara) yang saya kenali sebagai 'kakak' dan berusia satu tahun tujuh bulan. Dua bulan yang lepas, mama  (ibu kepada kakak) telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki seberat 3.67 kilogram. Sewaktu hari kelima berpantang, sedang mamanya duduk di kerusi sambil menonton televisyen, kakak mula mendampingi mamanya hendak naik duduk di atas riba dengan tujuan untuk bermanja. Melihat tingkah laku kakak, emak saya (nenek kepada kakak) mula bersuara "kakak, sepak kaki mama tu nanti!" dengan tujuan untuk melarang kakak menyepak kaki mamanya. Biasalah, menjadi adat orang berpantang untuk menjaga kakinya daripada terkena sesuatu yang berat, kuat, tajam dan sebagainya.


Namun, kakak sebenarnya salah mentafsir kata-kata emak itu tadi. Sejurus mendengar kata-kata emak, kakak dengan penuh bersemangatnya terus menyepak kaki mamanya sambil melebarkan senyuman yang sangat ikhlas. Tergelak rasanya melihat peristiwa itu.



Ulasan:

Kanak-kanak selalunya salah mentafsir bahasa terbalik yang sering disampaikan oleh ibu bapa. Oleh hal yang demikian, kita sebagai orang dewasa perlu menggunakan bahasa yang lebih ringkas dan lebih rendah larasnya supaya mudah difahami oleh kanak-kanak.

Rabu, 26 September 2012

Bahasa Kiasan

26 Sept 2012 (Situasi 1 minggu ke-3)

Hari ini saya terbaca mengenai bahasa kiasan di beberapa blog pada laman sesawang. Za'ba menyatakan bahasa kiasan sebagai bahasa yang menyatakan sesuatu perkara yang mengkiaskan kepada perkara lain sama ada menyebut atau tidak bandingan antaranya. Bahasa kiasan dianggap sebagai bahasa atau ungkapan pengucapan yang halus dan dan dapat meningkatkan imej penuturnya. 

Bahasa Kiasan ini hampir sama dengan peribahasa dari segi maksudnya, kerana bahasa kiasan juga mempunyai maksud di sebalik makna harfiahnya. Ia merupakan ciptaan penutur atau pengkarya berhubung dengan sesuatu keadaan, situasi atau persekitaran. Antara beberapa contoh bahasa kiasan yang sering kita gunakan ialah:
  • Kiasan bersandar = mandi kerbau
  • Kiasan terus = ayam tambatan
  • Kiasan berbunga = selimut kemalasan
  • Kiasan pemanis = buang air besar

Antara beberapa contoh bahasa kiasan dan maksudnya ialah:
  • Panjang tangan = suka mencuri
  • Besar Kepala = sombong
  • Rendah Hati = tidak sombong


Ulasan:
Secara sedar atau tidak sedar, kita banyak menggunakan bahasa kiasan dalam pertuturan kita seharian. Hal ini demikian kerana, bahasa kiasan dianggap lebih manis dan sopan apabila dituturkan dan digunakan dalam komunikasi selain menunjukkan nilai dalam Bahasa Melayu itu sebenarnya sangat tinggi.